PERTANDINGAN lukis watak animasi barisan hadapan.
PERTANDINGAN lukis watak animasi barisan hadapan.
hmdigital

INDUSTRI teknologi dan kandungan kreatif di Malaysia kini terus berkembang dan kekal kompetitif setanding dengan negara lain.

Perkembangan ini didorong oleh sokongan kerajaan yang sudah lama menyedari kepentingan dan potensi industri ini kepada ekonomi serta penghasilan modal insan daripada pembangunan industri animasi tempatan.

Justeru, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang kini giat melaksanakan pelbagai program memberi peluang kepada masyarakat menceburi industri ini bekerjasama dengan Harian Metro menganjurkan Pertandingan Melukis Watak Animasi yang terbuka kepada warganegara Malaysia berumur tujuh hingga 17 tahun.

Naib Presiden Bahagian Kandungan Kreatif Digital, MDEC, Hasnul Hadi Samsudin, berkata pertandingan itu juga adalah inisiatif MDEC dan rakan strategiknya bagi memastikan kelestarian bekalan modal insan serta memupuk minat generasi muda terhadap animasi.

Menurutnya, pada masa sama hasil karya animasi yang diterajui oleh studio tempatan sangat membanggakan kerana bukan sahaja berjaya menambat hati penonton tempatan malah banyak karya berjaya menembusi pasaran luar negara.

"Hasil animasi tempatan juga membuktikan keunggulannya apabila berjaya merangkul beberapa anugerah berprestij. Antara wajah karakter animasi yang diminati oleh peminat cilik termasuk Ejen Ali, Boboiboy, Didi & Friends dan banyak lagi.

"Justeru, pertandingan ini bukan sahaja dapat mengisi masa lapang anak-anak dengan aktiviti bermanfaat semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) malah dapat mencungkil bakat generasi muda di dalam menghasilkan karya asli dan kreatif menggunakan imaginasi mereka," katanya.

Sejajar dengan situasi semasa dalam menghadapi pandemik Covid-19, tema pertandingan ini memerlukan peserta mengekspresikan cara mereka menghargai pengorbanan barisan hadapan dalam mengekang penyebaran dan penularan Covid-19 di Malaysia.

Pertandingan ini bermula 14 Mei lalu dan akan berakhir 14 Jun 2020. Terdapat dua kategori iaitu kategori cilik bagi kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun bertemakan karakter imaginasi mereka menghargai jasa barisan hadapan, manakala kategori remaja pula berumur 13 hingga 17 tahun dengan tema Fan Art menghargai jasa barisan hadapan.

Peserta hanya perlu memilih kategori dan muat turun lakaran mereka di akaun Facebook atau Instagram berserta tanda pagar #pelukiscilik untuk kategori dan #pelukisohsem untuk kategori remaja. Peserta juga digalakkan untuk mengambil inspirasi watak animasi tempatan untuk disertakan ke dalam lakaran mereka.

Hadiah menarik berupa wang tunai dan peluang mengenali studio animasi tempatan dengan lebih dekat menanti pemenang.

Tambah Hasnul, MDEC juga giat menjalankan pelbagai inisiatif di dalam usaha menghasilkan modal insan yang berdaya saing dan kompetitif.

"Antara program yang diperkenalkan adalah Kre8tif @ Schools iaitu program yang direka khas untuk pelajar sekolah menengah mempelajari tatacara pembangunan animasi pendek.

"Manakala, program untuk pemain industri pula dirangka khusus bagi peningkatan kemahiran seperti sesi bengkel dan perkongsian di bawah Enterprise Development Program dan tawaran untuk menyertai Kre8tif! Inc iaitu fasiliti yang menempatkan studio kecil dan sederhana, bantuan kewangan dan sesi bimbingan menerusi pertandingan Digital Content Creators Challenge (DC3) dan lain-lain lagi," katanya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan ini serta program di bawah selian MDEC, kunjungi https://www.facebook.com/MyMDEC/posts/3110994802254184?__tn__=H-R.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:50 PM