Saipul Adli Mohamad dan Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


SEBANYAK 4,908 sampel dari empat Depoh Tahanan Imigresen (DTI) sudah diuji, dengan 466 daripadanya didapati positif Covid-19.

Empat DTI itu membabitkan Bukit Jalil, Semenyih, Sepang dan Putrajaya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif tertinggi membabitkan warga India iaitu sebanyak 123 kes.

"Ia diikuti warga Bangladesh dengan 108 kes, Indonesia (76), Myanmar (66), Pakistan (45) dan China (18).

"Tujuh kes membabitkan warga Sri Lanka, lima kes warga Nepal, empat kes warga Kemboja, tiga kes warga Filipina dan dua kes warga Mesir.

"Satu kes masing-masing warga Laos, Nigeria, Libya dan Syria," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengenai status terkini Kluster Pedas, katanya, sebanyak 36 kes positif baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 bagi kluster itu sebanyak 256 kes.

"Kes positif kluster ini melibatkan 14 kes di kalangan warga Malaysia dan 242 kes bukan warganegara," katanya.

Menurutnya, pecahan bagi 242 kes itu adalah 136 kes warga Nepal; Bangladesh (55), Myanmar (26), Indonesia (21), India (tiga) dan satu kes membabitkan warga Vietnam.

"Kes-kes positif baharu ini dikesan hasil daripada saringan ulangan dalam tempoh mereka di pusat kuarantin.

"Mereka masih diasingkan di pusat kuarantin, justeru tidak membawa risiko penularan kepada masyarakat," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:57 PM