Samsulmuddin (tengah) bersama pegawai dan anggota polis menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas. FOTO Nor Amalina Alias.
Samsulmuddin (tengah) bersama pegawai dan anggota polis menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas. FOTO Nor Amalina Alias.
Nor Amalina Alias


EMPAT lelaki ditahan selepas dipercayai menyorok 767 kilogram daun ketum dalam lori muatan sekam padi di Kampung Pengkalan Cina, Tanjung Pauh, Tawang, dekat Bachok, Sabtu lalu.

Kesemua mereka yang berusia antara 23 hingga 35 tahun ditahan ketika memunggah 355 bungkusan plastik berisi daun ketum pada 7.30 malam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Samsulmuddin Sulaiman berkata, hasil maklumat awal dua daripada mereka iaitu pemandu dan kelindan menaiki lori muatan sekam dari Kedah manakala dua lelaki lain menunggu di Bachok untuk memunggah plastik muatan ketum itu.

"Nilai pasaran ketum dianggarkan RM19,175 dan lori bernilai lebih RM300,000.

"Soal siasat awal pemandu memberitahu dia menerima upah RM5,000 untuk membawa barang dari Kedah ke Kelantan dan pemeriksaan turut mendapati mereka menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang palsu," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, hari ini.

Katanya, ujian air kencing terhadap mereka didapati negatif namun tiga daripadanya mempunyai rekod lampau jenayah iaitu khianat dan narkotik.

"Hasil soal siasat, pemandu memaklumkan dia bertolak dari Kampung Durian Burong, Kedah petang Jumaat.

"Mereka tiba di sini (Bachok) pada waktu Maghrib dipercayai untuk mengelak daripada pihak berkuasa dan memudahkan kerja penghantaran ketum," katanya.

Katanya, kesemua mereka ditahan reman bermula Isnin lalu sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:58 PM