MAZLAN (tengah) memantau anggotanya sedang melakukan ujian pengesanan alkohol dalam badan pemandu di Jalan Hang Tuah, malam tadi. FOTO Bernama
MAZLAN (tengah) memantau anggotanya sedang melakukan ujian pengesanan alkohol dalam badan pemandu di Jalan Hang Tuah, malam tadi. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 11 pemandu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di empat lokasi sekatan jalan raya (SJR) sekitar ibu negara, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, seramai 35 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur terbabit dalam operasi bermula 9 malam tadi di Jalan Klang Lama, Hartamas, Kepong dan Jalan Hang Tuah.

"Hasil pemeriksaan terhadap 150 kenderaan sehingga 11 malam tadi, kami mendapati 11 pemandu berusia 30 hingga 50 tahun memandu dalam keadaan mabuk dengan bacaan melebihi had dibenarkan pada ujian saringan awal.

"Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk ujian saringan kali kedua sebelum tindakan lanjut diambil," katanya ketika ditemui selepas mengetuai pemeriksaan SJR Op Mabuk di Jalan Hang Tuah, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Adnan Azizon.

Mazlan berkata, pemandu didapati memandu dalam keadaan mabuk dalam operasi itu akan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Bagi tempoh 26 Mei lalu sehingga semalam (kelmarin), sebanyak 30 kes membabitkan kesalahan mengikut seksyen sama direkodkan menerusi Op Mabuk dilakukan di ibu kota ini.

"Selain itu, sebanyak tiga kes pula direkodkan bagi kesalahan mengikut Seksyen 45C akta sama sepanjang tempoh berkenaan," katanya.

Beliau berkata, operasi seumpama itu akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan mereka yang mengambil minuman keras tidak memandu dalam keadaan mabuk.

Menurutnya, orang ramai yang mengambil minuman keras dinasihatkan supaya tidak memandu dan menggunakan perkhidmatan e-hailing atau teksi selain perkhidmatan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 1:07 AM