KANAK-KANAK perempuan yang ditemui bersendirian di tepi jalan di Taman Prima Saujana, Kajang, semalam.
KANAK-KANAK perempuan yang ditemui bersendirian di tepi jalan di Taman Prima Saujana, Kajang, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS membuka kertas siasatan berkaitan kecuaian terhadap ibu bapa seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui bersendirian di tepi jalan di Taman Prima Saujana, Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang suri rumah warga Indonesia berusia 51 tahun yang menemui kanak-kanak berusia lingkungan tiga tahun itu di lokasi terbabit.

"Dia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut pada 5.41 petang. Ketika ditemui, kanak-kanak itu berpakaian lengkap dan dalam keadaan sihat.

"Justeru, kami menggerakkan pasukan untuk mengesan ibu bapa kanak-kanak berkenaan sebelum ibu kanak-kanak berkenaan datang ke balai selepas dua jam laporan dibuat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, difahamkan ibu kanak-kanak berkenaan datang ke Balai Polis Kajang selepas menyedari anaknya itu tiada di rumah.

Beliau berkata, semakan mendapati ibu bapa kanak-kanak itu yang juga warga Thailand berusia 30-an bekerja di restoran di Kajang manakala anak mereka pula berusia lima tahun.

"Kami sudah menghantar kanak-kanak itu ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan. Susulan insiden ini, kami membuka kertas siasatan menjurus kepada kesalahan kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

"Ibu bapa serta kanak-kanak perempuan itu berada dalam keadaan selamat dan mereka masih diperlukan pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengabaikan anak kerana ia adalah satu kesalahan mengikut Akta Kanak- Kanak 2001," katanya.

Berita berkaitan

'Mana ibu bapa saya...?'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 1:16 AM