POLIS Kuala Lumpur memeriksa pusat hiburan di Jalan Changkat, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Bernama
POLIS Kuala Lumpur memeriksa pusat hiburan di Jalan Changkat, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS Kuala Lumpur menggerakkan 150 pasukan bagi melakukan pemantauan dan pemeriksaan terhadap pub serta bar yang menyajikan minuman keras di sekitar ibu kota.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pemantauan dilakukan pasukan berkenaan turut merangkumi kawasan tumpuan orang ramai.

"Ada beberapa pub dan bar dibuka di sekitar ibu kota ini yang mempunyai lesen menyajikan minuman keras selain menjalankan operasi penyediaan makanan.

"Justeru, kami menggerakkan 150 pasukan bagi memantau premis berkenaan serta kawasan tumpuan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya ketika ditemui selepas mengetuai Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Mabuk di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Adnan Azizon.

Mazlan berkata, sebanyak 463 kompaun dikeluarkan pihaknya atas pelbagai kesalahan terhadap orang awam serta pemilik premis yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh 19 Mei lalu hingga semalam.

"Kami melakukan pemantauan bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan termasuk penjarakan sosial serta menutup premis pada 10 malam.

"Langkah itu diambil bagi memastikan semua pihak mematuhi arahan ditetapkan seperti termaktub dalam Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Sementara itu, tinjauan wartawan Harian Metro di Jalan Changkat, Bukit Bintang, pada 8 malam tadi mendapati terdapat beberapa pun dan bar di lokasi terbabit beroperasi.

Kebanyakan pelanggan di premis berkenaan terdiri daripada individu warga asing selain beberapa warga tempatan dengan ada di antara mereka dilihat meminum minuman keras.

Pemeriksaan dan pemantauan dilakukan pihak polis terhadap semua pub dan bar di lokasi terbabit mendapati premis terbabit mempunyai lesen menyajikan minuman keras kepada pelanggan.

Malah, pemilik premis serta pekerja mematuhi SOP ditetapkan dengan mengamalkan penjarakan sosial dan melakukan pemeriksaan suhu bagi setiap pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 1:31 AM