SULAIMAN. FOTO Amir Mamat
SULAIMAN. FOTO Amir Mamat


KERAJAAN Melaka akan mengkaji semula peraturan penjualan arak di negeri ini bagi memperkenalkan garis panduan baharu berikutan peningkatan kes kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, kajian semula itu membabitkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerajaan negeri menyokong penuh saranan dan cadangan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang mahu Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dipinda agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengarah alkohol atau dadah.

"Kerajaan negeri memandang serius kes seumpama itu kerana ia menyebabkan masalah sosial lain yang lebih besar jika tindakan lebih tegas tidak dikenakan ke atas mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri dilaporkan sudah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk merangka pindaan akta berkenaan supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Arahan itu sebagai maklum balas kepada keresahan rakyat berhubung kes kemalangan akibat pemandu mabuk yang mana statistik polis sepanjang lima bulan pertama tahun ini sebanyak 21 kes membabitkan pemandu mabuk dicatatkan yang mana lapan mangsa meninggal dunia.

Katanya, perkara itu sangat membimbangkan kerana jumlah yang direkodkan dalam tempoh lima bulan tahun ini menghampiri keseluruhan 23 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Sulaiman juga mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Jasin yang menerima pengiktirafan sebagai 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia sempena Hari Kebahagiaan Sedunia baru-baru ini.

"Ia menjadi pemangkin semangat kepada kedua-dua PBT agar terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 11:48 AM