SUSPEK yang ditahan bersama dadah dalam serbuan di Sabak Bernam. FOTO Ihsan Polis.
SUSPEK yang ditahan bersama dadah dalam serbuan di Sabak Bernam. FOTO Ihsan Polis.
Amirul Aiman Hamsuddin


POLIS menahan empat individu termasuk dua beradik kerana memiliki dadah bernilai RM 6,363 dalam serbuan di sebuah rumah di Sabak Bernam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis pada 10 malam.

"Hasil pemeriksaan terhadap semua suspek berusia lingkungan 39 hingga 50 tahun menemui syabu seberat 30.4 gram bernilai RM 4,560.

"Turut ditemui heroin seberat 60.01 gram bernilai RM 1,803," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agus Salim berkata, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Dalam pada itu, Agus Salim turut mengingatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah untuk membantu pihak polis mengambil tindakan.

"Maklumat boleh disalurkan di talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam iaitu 03-32242222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 1:15 PM