PENUMPANG di Terminal Feri Penumpang Kuah pada 16 Mei lalu. FOTO Bernama
PENUMPANG di Terminal Feri Penumpang Kuah pada 16 Mei lalu. FOTO Bernama
Hamzah Osman


PELBAGAI pihak meminta kerajaan tidak melayan cadangan konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) menaikkan harga tiket feri.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, langkah itu bertentangan usaha menarik pelancong ke Langkawi.

"LTA membantah keras cadangan itu dan tidak sesuai dilaksanakan ketika pemain industri pelancongan berusaha bangkit selepas terjejas akibat Covid-19.

"Pelancong tempatan mudah terguris walaupun kenaikan tiket feri hanya sekadar RM1 dan ia dilihat faktor yang membebankan," katanya ketika dihubungi.

Zainudin berkata, jika pihak konsortium berdegil mahu menaikkan tambang, pihaknya bersedia menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan berkata, pihak konsortium mahu menaikkan tambang bagi menampung kerugian dipertikaikan banyak pihak.

"Mohon kementerian kaji kos perjalanan feri sebenar kerana saya difahamkan kos operasi satu perjalanan RM800. Dengan itu, kementerian dapat pastikan kenyataan bahawa berapa kos sebenar perjalanan ke Kuala Perlis dan ke Kuala Kedah," katanya.

Menurutnya, ketika ini harga minyak murah dan kenaikan harga tambang adalah tidak wajar, malah menggunakan alasan perlu melaksanakan penjarakan sosial tidak sepatutnya dibangkitkan kerana langkah itu bersifat sementara dan belum muktamad," katanya ketika dihubungi.

Selasa lalu, media melaporkan kerajaan negeri menunggu persetujuan Kabinet untuk menaikkan harga tiket feri ke Langkawi.

Exco Pengangkutan negeri, Azman Nasrudin dilaporkan berkata, kerajaan negeri sudah berbincang dengan Kementerian Pengangkutan dan sedang menunggu persetujuan Kabinet berhubung perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 1:55 PM