Balqis Jazimah Zahari


LIMA individu didakwa di mahkamah majistret di Ipoh, hari ini atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas berhimpun bagi menuntut hak kakitangan pekerja pembersihan hospital.

Bagaimanapun, semua tertuduh berusia antara 35 hingga 61 tahun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Tertuduh ialah Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia, M Sarasvathy, 67 yang juga ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM); Pegawai Perhubungan Industri Kesatuan, L Danaletchumi, 35; Bendahari Kebangsaan Kesatuan, V Santhiran, 52, manakala dua lagi aktivis PSM, M C Subramane 60 dan P Jody, 61.

Semua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di perkarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Jalan Hospital pada 12.10 tengah hari pada 2 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati berhimpun di dalam mana-mana kawasan tempat jangkitan bagi maksud sosial.

Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 7 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempat jangkitan yang juga satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Peraturan 15 (1), Peraturan sama bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan K Darinee, manakala semua tertuduh diwakili peguam K S Bawani dan K Kunasekaran.

Di dalam prosiding, peguam Bawani memohon jaminan tanpa cagaran berikutan semua tertuduh yang tidak memiliki rekod jenayah lampau dan banyak berkhidmat kepada masyarakat.

Noor Azreen Liana kemudiannya membenarkan jaminan RM1,000 setiap seorang tertuduh dan menetapkan 9 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, lima individu ditahan polis selepas menyertai tunjuk perasaan secara aman di hadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini terhadap majikan mereka Edgenta UEMS dalam usaha menuntut hak mereka.

Terdahulu media turut melaporkan, ia mungkin tunjuk perasaan secara aman, tetapi ketiga-tiga wanita dan dua lelaki itu ditangkap kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz dilaporkan berkata, lima individu itu enggan bersurai walaupun amaran diberikan.

Lima individu didakwa di mahkamah majistret atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas menyertai perhimpunan secara aman bagi menuntut hak kakitangan pekerja pembersihan hospital. FOTO Sharul Hafiz Zam
Lima individu didakwa di mahkamah majistret atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas menyertai perhimpunan secara aman bagi menuntut hak kakitangan pekerja pembersihan hospital. FOTO Sharul Hafiz Zam

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 3:09 PM