X
FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Shahrinnahar Latib


SEORANG peniaga kerugian RM12,650 selepas diperdaya individu menyamar pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menjual tong gas tidak wujud, bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dihubungi suspek yang juga lelaki mendakwa dari KPDNHEP Raub pada 28 Mei lalu berkaitan penjualan tong gas lelong.

"Mangsa ditawarkan tong gas lelong pada harga RM49 setong dan dia setuju untuk membeli 250 tong pada harga RM12,250.

"Dia kemudiannya melakukan lima transaksi pembayaran namun menyedari ditipu selepas tong gas berkenaan tidak dihantar pada tarikh dipersetujui," katanya hari ini.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 3:12 PM