Superintendan Mohd Yusuf Shaari (tengah) menunjukkan sejumlah rokok putih pelbagai jenama yang dirampas dalam satu serbuan ke atas sebuah premis kedai di Kampong Baru, Lunas. FOTO NOR FARHANI CHE AD
Superintendan Mohd Yusuf Shaari (tengah) menunjukkan sejumlah rokok putih pelbagai jenama yang dirampas dalam satu serbuan ke atas sebuah premis kedai di Kampong Baru, Lunas. FOTO NOR FARHANI CHE AD
Nor Farhani Che Ad


POLIS menahan tiga lelaki bersama arak seludup yang dianggarkan bernilai RM63,000 dalam serbuan di kawasan lapang di Kampong Lama, Lunas, Selasa lalu.

Dalam operasi itu, lelaki berusia 27 hingga 42 tahun itu ditahan ketika memunggah barang di bahagian belakang sebuah lori yang dipenuhi botol kosong pada 11 malam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, ketiga-tiga suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika serbuan dilakukan.

"Pemeriksaan lanjut ke atas lori terbabit menjumpai 3,840 tin minuman keras jenama Knight General.

"Berikutan itu, semua suspek yang juga warga tempatan ditahan dan minuman keras terbabit serta sebuah lori dirampas untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulim, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, pada hari sama, pihaknya turut membuat serbuan ke atas sebuah premis kedai yang disyaki menjalankan perniagaan rokok seludup pada 7 malam.

Beliau berkata, susulan serbuan, pihaknya menahan pemilik kedai berusia 46 tahun serta merampas 2,030 kotak rokok putih pelbagai jenama yang bernilai kira-kira RM10,000.

Beliau berkata, semua tangkapan tidak mempunyai rekod lampau dan direman tiga hari untuk siasatan lanjut.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1), Akta Kastam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 3:21 PM