X
ANGGOTA tentera mengawal laluan masuk bagi mengetatkan kawalan di sekitar Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama susulan Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan bagi membentras penularan COVID-19. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
ANGGOTA tentera mengawal laluan masuk bagi mengetatkan kawalan di sekitar Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama susulan Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan bagi membentras penularan COVID-19. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Noor Atiqah Sulaiman


"SEBELUM ini hanya melihat keadaan seperti ini di dalam televisyen dan media sosial, tidak sangka akhirnya perkara yang sama terjadi di sini," kata Mohd Akwan Kassim, 27, penduduk Taman Langat Murni, yang kini diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran.

Mohd Akwan berkata, beliau bersama isteri dan dua anaknya berusia dua dan empat tahun itu memang tidak keluar dari kediaman mereka sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Ketika diminta membuat saringan kesihatan, Mohd Akwan berkata, pada mulanya dia ingat dirinya sudah dijangkiti wabak berkenaan kerana tidak tahu kawasan kediamannya itu kini sudah dipasang kawat berduri.

"Pada mulanya saya ingat saya sakit selepas diminta buat saringan kesihatan ini, perkara itu mendatangkan kerisauan kepada saya terutamanya masih mempunyai dua anak kecil bersama saya.

"Selepas diberitahu semua penduduk di sini perlu menjalani ujian berkenaan kerana terdapat satu kluster yang dikenal pasti di sini, baru saya faham mengapa perlu jalani saringan terbabit.

"Namun, kerisauan tetap ada kerana saya takut untuk mengetahui keputusan ujian saringan itu nanti," katanya selepas melakukan ujian calitan (swab test) di kawasan terbabit, hari ini.

Selain Mohd Akwan, isterinya, Nor Sahira Nonoh, 26, dan dua anak mereka, Nor Akma Kaisarah dan Nor Sahzira Farisah, masing-masing berusia empat dan dua tahun, turut menjalani ujian sama.

Ditanya mengenai ujian saringan dikenakan terhadap hampir 9,000 penduduk di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, di sini, Mohd Akwan berkata, sebagai bapa dirinya sedih melihat keadaan anaknya ketika menjalani ujian saringan terbabit namun terpaksa akur demi kesihatannya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Langat Murni, Shaari Ishak, 60, berkata beliau bersyukur kerana penduduk di taman berkenaan memberi kerjasama sepenuhnya ketika diminta hadir menjalani saringan kesihatan.

"Sehingga kini, sudah hampir 80 peratus penduduk sudah jalani saringan kesihatan ini, termasuklah warga asing yang turut mendiami kawasan ini.

"Walaupun kawasan taman ini dipasang kawat berduri, namun penduduk masih boleh keluar rumah dan membeli barangan keperluan harian seperti sedia kala di kedai berdekatan.

"Penduduk hanya tidak dibenarkan keluar dari kawasan taman perumahan ini sahaja, tidak seperti di tempat lain yang dipasang kawat berduri. Mahu keluar rumah pun tidak boleh kerana dihalang oleh pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati hanya satu laluan untuk keluar dan masuk ke kawasan perumahan di taman berkenaan.

Bagi individu yang tidak mempunyai alasan kukuh, mereka tidak dibenarkan masuk atau keluar dari kawasan berkenaan.

Kawasan di Taman Langat Murni dipasang kawat berduri selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 20 warga asing bekerja dengan syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tinggal di taman itu disahkan positif Covid-19 pada Khamis lalu.

Turut dikenakan tindakan sama Taman Langat Utama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 3:45 PM