Banduan di beri kemudahan menghubungi ahli keluarga dengan aplikasi Skype untuk berhubung menggunakan teknologi itu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ditemui di Penjara Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
Banduan di beri kemudahan menghubungi ahli keluarga dengan aplikasi Skype untuk berhubung menggunakan teknologi itu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ditemui di Penjara Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
Oleh Siti Rohana Idris

SERAMAI 4,953 banduan di dua penjara di negeri ini diberi kemudahan aplikasi Skype untuk berkomunikasi dengan keluarga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Aplikasi berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh banduan dari Penjara Pengkalan Chepa dan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang yang memuji platform itu yang disifatkan sebagai 'penyelamat' kepada hubungan kekeluargaan.

Azmi (bukan nama sebenar), 38, berkata, walaupun pada mulanya agak janggal, namun dia bersyukur kerana tetap dapat berhubung dengan keluarganya.

Azmi yang sudah 11 tahun ditahan di Penjara Pengkalan Chepa atas kesalahan samun berkumpulan dan bersenjata kerap menggunakan aplikasi Skype untuk berhubung dengan bapa serta adiknya yang menetap di Kuala Lumpur.

"Sebelum PKP, ayah dan adik lawat saya di sini setiap bulan namun sejak PKP, sudah lebih tiga bulan kami tidak bersua.

"Alhamdulillah, melalui Skype, saya boleh bertanya khabar terutama ayah yang uzur, walaupun tidak berjumpa secara langsung, cukup sekadar dapat menatap wajah ayah," katanya.

Azmi yang juga bekas anggota polis bantuan berkata, dia memperuntukkan 10 minit untuk berhubung dengan keluarga menggunakan Skype.

"Ayah sentiasa berpesan supaya saya menjaga diri selain banyakkan amal ibadat," katanya yang sudah lapan kali khatam al-Quran.

Sementara itu, Pengarah Penjara Kelantan Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, pengurusan penjara akan mengeluarkan kata laluan kepada keluarga untuk menggunakan aplikasi berkenaan.

"Tempoh maksimum sesi interaksi ialah 45 minit, ia tempoh sama ketika lawatan dibenarkan sebelum PKP.

"Kemudahan ini disediakan sebagai kaedah gantian untuk sesi perjumpaan sebelum ini bagi mengubati kerinduan banduan terhadap keluarga, ia juga membantu proses pemulihan banduan," katanya.

Menurut beliau, Skype digunakan setiap hari pada waktu pejabat dan ketika sesi interaksi, banduan dipantau pegawai penjara sebagai langkah keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 4:08 PM