Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Yusmizal Dolah Aling


PENGESAHAN perlucutan keahlian secara automatik lima bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipercayai agenda utama mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), malam ini.

Sumber berkata, jemputan bagi menghadiri mesyuarat berkenaan dikeluarkan kepada kedua-dua kumpulan, sama ada yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, jika kelima-lima individu yang dilucutkan hadir dan menyertai mesyuarat, maka mesyuarat itu dijangka tidak akan diteruskan dan dibatalkan.

"Jika bekas ahli hadir semasa mesyuarat berlangsung, mereka tidak akan dihalang, tetapi mesyuarat perlu ditangguhkan sehingga mereka keluar (dari mesyuarat).

"Tetapi jika kelima-lima mereka masih berdegil untuk meneruskan mesyuarat, maka semua 21 ahli MPT yang menyokong Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan keluar sehingga mereka meninggalkan mesyuarat itu," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, mesyuarat itu juga harus mengesahkan mengenai perlucutan automatik keahlian lima individu terbabit, malam ini bagi menamatkan kemelut parti yang berlanjutan sejak minggu lalu.

Selain Dr Mahathir, empat individu lain Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Daripada lima yang dipecat, hanya Syed Saddiq yang menghantar surat rayuan, manakala yang lain tidak berbuat demikian," katanya.

Pada Jumaat lalu, Dr Mahathir dalam satu sidang media memecat Setiausaha Kerja Bersatu Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya yang didakwanya menjalankan tugas melangkaui batas.

Pada sidang media lain, hari yang sama, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin pula memaklumkan lima ahli parlimen berkenaan dilucut ahli secara automatik kerana beberapa kesalahan termasuk berada di blok pembangkang pada sidang Parlimen, 18 Mac lalu.

Lanjutan itu, dalam satu kenyataan media kelmarin, kelima-lima mereka mendakwa masih ahli Bersatu dan pelucutan secara automatik itu tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan parti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 6:24 PM