Arifai Tarawe
Arifai Tarawe
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menumpaskan sebuah kumpulan yang aktif melakukan kegiatan pecah kedai perkakasan di Rawang dengan penahanan lima lelaki dalam serbuan berasingan, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima dua laporan kejadian pecah kedai perkakasan di Batu Arang dan Sungai Choh, Rawang pada 31 Mac serta 4 April lalu.

"Menurut mangsa, kedai mereka dipecah masuk penjenayah yang turut melarikan lori, tiga kenderaan lain serta peralatan dalam premis berkenaan.

"Hasil maklumat, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Baru Kundang pada 12.10 tengah malam (semalam) yang membawa kepada penahanan dalang utama dikenali sebagai Bob Kundang.

"Dalam serbuan sama, kami menahan tiga lagi lelaki termasuk dua warga asing dipercayai turut terbabit dalam kegiatan itu," katanya pada sidang media di Balai Polis Rawang, hari ini.

Arifai berkata, pihaknya turut merampas dua lori dan peralatan yang dipercayai dicuri dari kedua-dua kes berkenaan serta beberapa peket mengandungi dadah jenis syabu dan heroin.

"Hasil tangkapan itu juga, kami menahan seorang lagi lelaki di sebuah bengkel Merbau Sempak, Sungai Buloh yang dipercayai terbabit dengan kegiatan berkenaan.

"Lima suspek berusia 38 hingga 49 tahun itu dipercayai aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak dua bulan lalu dengan menyasar kedai perkakasan," katanya.

Katanya, semakan mendapati dalang utama kumpulan berkenaan mempunyai enam rekod jenayah termasuk kes dadah, manakala empat suspek lain tiada rekod jenayah.

"Kami percaya penahanan lima suspek itu berjaya menyelesaikan tiga kes termasuk satu kes curi kenderaan di Subang, sebelum ini.

"Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 7 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 6:55 PM