Gambar banjir kilat yang tular di media sosial di parkir awam sebuah pasaraya terkemuka berhampiran Stadium Shah Alam, Seksyen 13. FOTO IHSAN PENDUDUK
Gambar banjir kilat yang tular di media sosial di parkir awam sebuah pasaraya terkemuka berhampiran Stadium Shah Alam, Seksyen 13. FOTO IHSAN PENDUDUK
Ruwaida Md Zain

HUJAN lebat kira-kira jam 11.30 pagi tadi menyebabkan kereta yang diletakkan di kawasan parkir awam sebuah pasar raya terkemuka berhampiran Stadium Shah Alam di Seksyen 13, di sini ditenggelami banjir.

Satu gambar yang tular di media sosial petang tadi menunjukkan sebahagian kawasan parkir terbabit ditenggelami banjir.

Difahamkan kawasan terbabit sudah beberapa kali mengalami banjir kilat sekitar 2015 dan 2018.

Pada 2018, kejadian berlaku ketika perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak sehingga menyebabkan banyak gerai jualan di sekitar lokasi terbabit terjejas.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad ketika dihubungi berkata, hujan lebat sekitar jam 11.30 pagi tadi menyebabkan berlaku banjir kilat di lokasi terbabit.

"Hujan turun sekitar jam 11.30 pagi, dalam jam 12 tengah hari renyai-renyai dan kembali lebat kira-kira jam 3 hingga 3.30 petang.

"Lokasi banjir ini adalah kawasan parkir biasanya digunakan pengunjung dan kakitangan pasar raya ini.

"Pasukan PANTAS MBSA juga bergegas ke lokasi berkenaan untuk memantau keadaan ketika kejadian," katanya.

Bagaimanapun katanya, pemantauan terkini oleh MBSA kira-kira jam 6 petang mendapati banjir sudah surut.

"Namun ketika ini hujan sudah berhenti dan keadaan kembali sedia kala manakala banjir kilat juga sudah surut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 7:41 PM