KEADAAN kenderaan yang parkir di bahu jalan berhampiran Jalan Paya Terubong yang remuk dirempuh bas kilang. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN kenderaan yang parkir di bahu jalan berhampiran Jalan Paya Terubong yang remuk dirempuh bas kilang. FOTO ihsan pembaca
Zuhainy Zulkiffli


"TIDAK sampai lima minit selepas parkir di situ, saya terdengar dentuman kuat," kata Nor Fadzlina Abdul Rahim, 30, pemilik kereta yang dirempuh bas kilang dalam kejadian di Jalan Paya Terubong, Georgetown, hari ini.

Nor Fadzlina berkata, ketika kejadian dia yang baru pulang dari kerja dan meletakkan kereta di situ seperti kebiasaannya.

Katanya, ketika mahu naik ke rumah di flat berhampiran, dia terdengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan raya.

"Saya lihat bas kilang itu terbabas dan tergamam bila kenderaan yang dirempuhnya ialah kereta saya.

"Hanya lima minit memisahkan saya dengan kemalangan, walaupun kecewa kereta rosak teruk, namun bersyukur terselamat dalam kejadian," katanya hari ini.

Dalam kejadian itu, beberapa kereta yang parkir di bahu jalan di kawasan berbukit itu remuk akibat dirempuh bas kilang berkenaan selepas hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berlaku pada jam 6.55 petang.

"Polis sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu dan bilangan mangsa belum dapat dipastikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 9:26 PM