ABDUL Halim (dua dari kiri) mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam sidang video khas ditemani pengurusan tertinggi UPNM. FOTO ihsan UPNM
ABDUL Halim (dua dari kiri) mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam sidang video khas ditemani pengurusan tertinggi UPNM. FOTO ihsan UPNM
Muhaamad Hafis Nawawi


YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima mengadap Naib Canselor, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal, hari ini, menerusi sidang video khas.

Baginda yang juga Tuanku Canselor UPNM berkenan mengadakan sidang video khas itu jam 10 pagi bagi mengangkat sembah hal berkaitan perjalanan operasi UPNM sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan wabak Covid-19.

UPNM dalam satu kenyataan berkata, ini merangkumi strategi serta pelan tindakan semasa dan pasca Covid-19, khususnya pentadbiran, pengurusan pelajar, pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta penyelidikan dan inovasi.

Menurutnya, meskipun menghadapi cabaran, UPNM terus memastikan kelangsungan pendidikan di universiti terus terjamin.

"Seramai 218 pelajar yang berada di dalam dan luar kampus menerima bantuan makanan dan keperluan harian, kesihatan dan lain-lain yang dibiayai sepenuhnya kerajaan serta UPNM.

"Sumbangan juga turut dihulur oleh syarikat, badan korporat dan orang perseorangan yang mana pelajar ini juga selamat dihantar pulang secara berperingkat mulai 27 April lalu," katanya.

Katanya, pada sidang video khas ini, baginda bertitah supaya warga UPNM membiasakan diri dengan normal baharu bukan saja dalam amalan hidup seharian malah juga di tempat kerja di mana perlu mengikuti garis panduan yang dikeluarkan kerajaan seperti penjarakan sosial, cara berinteraksi secara berkumpulan dan dalam mesyuarat.

"Baginda juga menyatakan rasa berpuas hati dengan usaha dan inisiatif UPNM mengimplementasi secara aktif PdP dalam talian bagi memastikan para pelajar tidak terjejas pengajian mereka.

"Tuanku turut menggalakkan UPNM supaya lebih kreatif dan inovatif dalam menggunakan platform teknologi maya bagi menjalankan acara utama universiti yang telah dirancang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 11:00 PM