LAPAN lelaki yang bermain sepak takraw ditangkap selepas didapati melanggar PKPB di padang permainan Bandar Perdana Fasa 6. FOTO ihsan pdrm
LAPAN lelaki yang bermain sepak takraw ditangkap selepas didapati melanggar PKPB di padang permainan Bandar Perdana Fasa 6. FOTO ihsan pdrm
Nor Farhani Che Ad


LAPAN lelaki ditangkap ketika sedang bermain sepak takraw di padang permainan Bandar Perdana Fasa 6, Sungai Petani, hari ini, kerana didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tindakan ke atas lelaki berusia 19 hingga 26 tahun itu dilakukan oleh sepasukan polis selepas menerima arahan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Covid-19 pada 6 petang.

"Semasa tiba di lokasi, polis mendapati terdapat sekumpulan lelaki sedang bermain sepak takraw.

"Mereka gagal memberi penjelasan munasabah menyertai perhimpunan aktiviti sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu, semua individu terbabit ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Sungai Petani untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 11:21 PM