AKRAMSYAH Muammar. FOTO arkib NSTP
AKRAMSYAH Muammar. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling dan Muhaamad Hafis Nawawi


AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi menganggap pelucutan jawatannya agak melucukan dan seperti tragik komedi.

Akramsyah Muammar berkata, beliau berdepan pengalaman melucukan apabila menerima surat pelucutan jawatan sebagai MPT jam 11.45 malam semalam melalui WhatsApp daripada Setiausaha Kerja Bersatu.

Menurutnya, beliau kemudian berbincang dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan diberitahu boleh hadir ke mesyuarat malam ini.

"Apabila saya hadir tadi saya diserah satu lagi surat pembatalan pelucutan jawatan sebagai MPT.

"Ini bukan caranya dan sebagai antara pengasas parti saya harap lebih banyak budi bahasa dan sopan santun serta bukan cara hantar melalui WhatsApp tengah malam.

"Saya difahamkan surat itu juga sudah tular di media sosial," katanya kepada media hari ini.

Sementara itu, Ahli MPT Abu Bakar Yahya berkata, mesyuarat berjalan dengan baik seperti biasa dan mereka hadir untuk mendapatkan penjelasan mengenai beberapa perkara dan bertindak keluar awal kerana tidak ada apa lagi yang perlu dibincangkan.

Katanya, presiden parti memberikan penjelasan bahawa kerjasama sudah mendapat persefahaman bersama Umno dan Pas.

"Ini yang akar umbi tanya, jadi kita pun tanya dalam mesyuarat tadi. Mesyuarat seperti biasa," katanya kepada media hari ini.

Beliau bersama Tarik Ismail, Ulya Husamuddin dan Akramsyah Muammar bertindak keluar awal daripada mesyuarat yang bermula kira-kira 8.30 malam.

Ketika ini mesyuarat masih berlangsung dan kumpulan media masih menunggu di perkarangan Pertubuhan Alumni Universiti Malaysia (PAUM)

Berita berkaitan

Muhyiddin tiba pada mesyuarat MPT Bersatu

MPT Bersatu bincang lucut keahlian...?

Mesyuarat Majlis Pimpinan Bersatu malam ini bakal 'panas' ?

Tun M dijangka hadir, malam ini

Kedudukan Tun M terjawab malam ini

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 11:49 PM