POLIS mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke HQE1.
POLIS mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke HQE1.
Juwan Riduan


MISTERI bau busuk dan kehadiran lalat dari sebuah rumah sewa di Jalan Bundusan, Penampang, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki, petang tadi.

Dalam kejadian 6 petang itu, dua penyewa lain di rumah berkenaan menghubungi pemilik rumah selepas tidak selesa dengan bau busuk dan lalat yang banyak.

Pemilik rumah datang untuk pemeriksaan dan mengesyaki sesuatu lalu terus membuat laporan di Balai Polis Penampang untuk meminta bantuan segera.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan penemuan itu.

"Pemeriksaan menjumpai mayat lelaki dalam keadaan menggantungkan diri pada kipas siling dan sudah berbau.

"Mayat lelaki tempatan berusia 23 tahun itu kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 11:57 PM