TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Bahau. FOTO Abnor Hamizam.
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Bahau. FOTO Abnor Hamizam.
Abnor Hamizam Abd Manap


MAHKAMAH Majistret Bahau, hari ini menjatuhkan hukuman 12 penjara dan dua sebatan terhadap seorang lelaki kerana menipu warga emas dalam urusan jual beli emas palsu, 17 Mei lalu.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Khairul Nizam Zainal Abidin, 20 dari Batu Kurau, Perak selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 3 petang, 17 Mei lalu di sebuah rumah di FELDA Palong 7, menipu Faridah Md Tahir, 62 dengan memperdayakannya dan dengan curangnya mendorong warga emas berkenaan menyerahkan harta miliknya berupa satu pasang subang emas, dua bentuk cincin berbatu mutiara, tiga utas loket emas, satu utas rantai tangan dan satu kerongsang suasa kepada tertuduh.

Justeru, tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menawarkan kepada warga emas berkenaan pertukaran atau menggandakan barang kemas miliknya kepada yang baharu atau lebih berat.

Tertuduh memberitahu mempunyai banyak kedai emas di luar negara dan ada emas dalam simpanan menyebabkan wanita itu terpedaya.

Warga emas itu kemudian menukar barang kemas miliknya dengan tertuduh, sebelum menerima satu bentuk cincin belah rotan, seutas rantai tangan, dua loket, satu pasang subang serta satu resit pembelian dari 'kedai emas' pada 21 dan 26 Mei.

Bagaimanapun, anak wanita berkenaan yang pulang ke rumah pada 27 Mei lalu curiga dengan keaslian emas itu dan membawanya ke sebuah kedai emas di Bahau untuk diperiksa, dan disahkan palsu.

Warga emas itu kerugian RM6,000. Dalam pada itu, tertuduh turut merayu hukuman diringankan dengan alasan menjaga ibunya yang sedang sakit.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Salwati Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 12:38 PM