MUHAMMAD Fadhli Afiq (baju oren) dan Muhammad Khairul Anwar diiringi pasukan polis sebaik tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini.
MUHAMMAD Fadhli Afiq (baju oren) dan Muhammad Khairul Anwar diiringi pasukan polis sebaik tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini.


DUA lelaki didenda RM10,000 dan RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini atas tuduhan menyembunyikan wang, pada 2017.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Fadhli Afiq Rohizat, 26, dan Muhammad Khirul Anwar Mohd Darus, 22, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara sehingga 12 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fadhli Afiq didakwa dengan curangnya menolong menyembunyikan wang sebanyak RM20,000 yang dimasukkan Mohd Rozi Ibrahim, 53, ke dalam akaun Bank Rakyat miliknya di Taman Murni, Jalan Melang, Kuala Pilah pada 5.14 petang, 27 Julai 2017.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen Seksyen 424 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara Muhammad Khirul Anwar didakwa mengikut seksyen sama selepas mengaku terhadap tindakan menyembunyikan wang RM4,300 yang dimasukkan Norasyima Mohd Saad, 35, ke akaun Agro Bank miliknya di Kuarters Guru SMK Tunku Muhammad Kuala Pilah pada 7.44 malam, 15 Jun 2017.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fuad Ramlan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 1:36 PM