FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

PADAH menggunakan gelaran 'Datuk' palsu, seorang ahli perniagaan warga emas didenda sebanyak RM2,500 yang dikenakan Mahkamah Majistret di Shah Alam, hari ini.

Tertuduh, Mohsin Bujang, 62, mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan darjah kebesaran dengan gelaran 'Datuk' bagi maksud perdagangan, perniagaan, pekerjaan dan profesion tanpa kebenaran bertulis daripada Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri.

Mohsin didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Seksyen 13 Shah Alam pada 6.18 petang, 15 April 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Mohsin selaku ketua eksekutif kumpulan syarikat miliknya menandatangani satu surat kepada sebuah syarikat lain dengan menggunakan gelaran 'Datuk' yang mendatangkan kemusykilan kepada wakil syarikat berkenaan.

Ekoran daripada itu, wakil syarikat yang menerima surat ditandatangani Mohsin membuat semakan dan mendapati warga emas berkenaan menggunakan gelaran 'Datuk' palsu berikutan tiada rekod menyatakan dia pernah dikurniakan darjah kebesaran terbabit sebelum membuat laporan polis.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Uzair Abd Munir memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh memandangkan kes penggunaan gelaran palsu kerap berlaku dan ia boleh mencemarkan nama baik institusi diraja di negara ini.

Erry Shahriman kemudian menjatuhi hukuman denda RM2,500 dan penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh membayar denda dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 4:37 PM