PASANGAN Sugu Pavithra menunjukkan tripod yang diterima daripada Perdana Menteri. FOTO Sharul Hafiz Zam
PASANGAN Sugu Pavithra menunjukkan tripod yang diterima daripada Perdana Menteri. FOTO Sharul Hafiz Zam
Balqis Jazimah Zahari


"KAMI hanya orang biasa tetapi mendapat kata-kata penghargaan Perdana Menteri, ia sesuatu yang besar buat kami," kata pasangan YouTuber suami isteri, Sugu Pavithra.

S Pavithra, 28, berkata, dia berasa gembira apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi penghargaan melalui perutusan yang dibaca dan menjadi lebih semangat untuk menapak selangkah lagi untuk membuka kedai makan.

"Terima kasih, kami berasa sangat bangga dan gembira kerana diberi penghargaan oleh PM dalam perutusan beliau.

"Kami memang ada merancang masa hadapan untuk membuka kedai, tetapi selepas PM mengatakan perkara ini. Kami akan berusaha membuka kedai makan suatu hari nanti," katanya.

Pavithra berkata, mereka pada awalnya hanya merancang untuk membuat video di Youtube saja tetapi selepas menjadi tular dan turut mendapat sokongan daripada Perdana Menteri membuatkan mereka berkobar-kobar.

"Pada mulanya kami memang hanya merancang untuk membuat saluran Youtube saja, tetapi selepas ini mungkin akan memikirkannya dan akan mencuba juga membuka kedai makan.

"Rancangan untuk membuka kedai makan memang ada, tetapi kena tengok dulu macam mana.. mungkin tahun depan," katanya.

Menurutnya, dia dan suami ketika ini masih lagi cuba menyesuaikan diri dengan perubahan cara hidup baru.

"Dalam keadaan sekarang ini kami masih lagi menyesuaikan diri dengan kesibukan, jadi kami hanya dapat menghasilkan dua video seminggu.

"Ada juga rakan di youtuber dan beberapa pihak yang menghubungi kami untuk menyertai program masakan tetapi buat masa ini kami masih tidak dapat memenuhinya," katanya.

Berkenaan konsep masakan, Pavithra berkata, buat masa ini dia masih memilih untuk mengekalkan menu tradisi.

"Kami bukan pandai sangat dan kami memasak setakat yang kami tahu saja dan kongsikan kepada semua.

"Kami gembira apabila ramai yang memberi komen sudah mencuba masakan kami dan mengatakan menu yang kami kongsi itu sedap, kami jadi lebih bersemangat lagi untuk membuat banyak video," katanya.

Sebelum itu, Harian Metro melaporkan Perdana Menteri meletakkan harapan agar semua pihak termasuk sektor swasta dan orang ramai memainkan peranan sebaik-baiknya dalam memanfaatkan 40 inisiatif yang diumumkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Melalui perutusan itu, Muhyiddin berkata, usaha berkenaan juga diharap memberi manfaat kepada rakyat seperti pasangan Sugu dan Pavithra yang tular di media sosial bulan lalu.

Berita berkaitan

PM harap Sugu, Pavithra buka kedai makan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 7:09 PM