X
KAWALAN sempadan.
KAWALAN sempadan.
Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi


KELONGGARAN kawalan sempadan negara akan dipertimbangkan jika berjaya melaksanakan pengurangan kes Covid-19 di dalam negara ini terlebih dulu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekarang ini masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan akan beralih ke fasa pemulihan.

Menurutnya, apabila beralih ke fasa pemulihan lebih banyak sektor akan dibuka dan menggunakan akta 342 untuk mengawal serta melihat jika ada peningkatan kes satu lokaliti atau satu kumpulan sasar akan dijalankan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan disaring kawasan itu.

"Itu tindakan kita mengikut Akta 342 dan akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk penguatkuasaaan di mana apabila buka sektor ekonomi, sosial dan pelajaran akan menggunakan pemantauan.

"Seterusnya kita akan lihat kawalan sempadan dan mungkin boleh lihat bagaimana beri kelonggaran iaitu yang pertama negara yang diklasifikasikan sebagai zon hijau boleh dipertimbangkan dan ini hanya satu cadangan sahaja," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya juga mungkin boleh melihat untuk menjalankan saringan di negara masing-masing sebelum datang ke sini.

"Jadi, boleh kuarantin di sana sebelum datang ke negara kita dan ini mungkin satu lagi cara untuk tingkatkan kelonggaran dan bagi memastikan tiada jangkitan berlaku di sini.

"Ini masih dalam proses perbincangan dan kita akan lihat dari semasa ke semasa dan juga memantau perkembangan negara lain selain bekerjasama dengan negara jiran atau Asean," katanya.

Beliau berkata, ini semua antara kemungkinan akan dipertimbangkan dan jika berjaya dilaksanakan dalam negara barulah pertimbangkan ke peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 8:29 PM