X
JUGAH Muyang. FOTO arkib NSTP
JUGAH Muyang. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


AHLI Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang hari ini mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Jugah dalam kenyataan malam ini berkata, beliau menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

"Kawasan Parlimen saya terletak di luar bandar yang memerlukan bantuan kerajaan untuk pembangunan.

"Justeru, saya menyokong penuh PN dan GPS demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Lubok Antu," katanya.

Jugah berkata, beliau kesal apabila berlaku masalah dalam kalangan parti Pakatan Harapan (PH).

"Saya kesal berikutan permasalahan dalaman PH menyebabkan Perdana Menteri ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad) meletak jawatan sehingga akhirnya kerajaan PH tumbang. "Sehubungan itu, saya mengumumkan keluar dari PKR dan bergerak sebagai Ahli Parlimen Bebas yang menyokong penuh kerajaan PN dan GPS," katanya.

Jugah memenangi kerusi Parlimen Lubok Antu sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

Sejurus selepas PRU-14, penyokong beliau beramai-ramai menyertai PKR dan Jugah kemudian turut menyertai parti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 9:27 PM