MASTOR mengadakan lawatan kerja di Pengkalan Balai Polis Marin, Kuala Kurau. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MASTOR mengadakan lawatan kerja di Pengkalan Balai Polis Marin, Kuala Kurau. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


LEBIH 100 'laluan tikus' di sepanjang perairan pantai barat dikawal rapi bagi mengelakkan pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, langkah itu bukan saja untuk memastikan tidak ada PATI yang lolos melalui jalan laut malah mengekang penularan wabak Covid-19.

"Sejak Ops Benteng dilancarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 12 Mei, kita sudah ada beberapa tangkapan termasuk tekong bot negara jiran.

"Kebanyakan PATI ditahan ketika mahu keluar dari negara ini manakala tekong datang mengambil mereka," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Balai Polis Marin Kuala Kurau, Parit Buntar, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob.

Mastor berkata, dalam lawatan kerja dari Jeti Kampung Acheh, Lumut hingga ke Pengkalan Polis Marin Kuala Kurau, pihaknya amat berpuas hati dengan persiapan dan pelaksanaan kerja unit marin dan udara.

Beliau berkata, pihaknya berharap kerjasama antara Polis Marin dengan agensi lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dapat diteruskan dalam memutuskan rangkaian Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 9:32 PM