Peniaga dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani. FOTO NOR FARHANI CHE AD
Peniaga dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani. FOTO NOR FARHANI CHE AD
Nor Farhani Che Ad


SEORANG peniaga direman tujuh hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM12,000.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nadhirah Abdul Rahim selepas mendapat permohonan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Firdaus Mat Rose.

Suspek berusia 39 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Semalam, SPRM Kedah menahan lelaki terbabit di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 6.45 petang selepas suspek dipercayai menerima wang sebanyak RM12,000.

Suspek dikatakan menerima wang terbabit daripada seorang individu di Bukit Mertajam pada 7 malam, Rabu lalu.

Wang itu dikatakan bayaran untuk pihak polis sebagai balasan bagi mengeluarkan seorang rakan individu terbabit yang sedang direman dan lima lagi daripada tahanan berhubung siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

Tangkapan itu disahkan Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 11:50 AM