POLIS mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang ingkar terhadap PKPB. Ihsan PDRM.
POLIS mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang ingkar terhadap PKPB. Ihsan PDRM.
Nur Izzati Mohamad


POLIS mengeluarkan kompaun terhadap 26 individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam operasi sekitar Butterworth, semalam.

Kesemua mereka dikompaun kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya duduk melepak sambil menikmati minuman keras dan cubaan merentas negeri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka yang dikompaun berusia dalam lingkungan 19 hingga 43 tahun.

"Antara kesalahan yang dilakukan adalah melepak sambil menikmati minuman keras di kawasan restoran serta persisiran pantai dekat Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

"Selain itu, masih ada lagi yang ingkar apabila cuba melakukan perjalanan rentas negeri di laluan tikus namun berjaya dihalang melalui sekatan yang diadakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua mereka dikompaun RM1,000 mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Sehingga kini, polis daerah itu mengeluarkan sejumlah 548 kompaun terhadap mereka yang ingkar sejak PKPB dikuatkuasakan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 1:23 PM