ANTARA sukarelawan yang terlibat menjahit 10,000 pelitup uka. FOTO ihsan MPMS
ANTARA sukarelawan yang terlibat menjahit 10,000 pelitup uka. FOTO ihsan MPMS
Rafiqah Dahali


BAGI membantu membanteras pandemik Covid-19 di Sabah, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) menerusi pusat sukarelawannya melaksanakan projek membuat 10,000 pelitup muka khusus untuk golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Presidennya yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Frankie Poon Ming Fung berkata, projek itu sudah bermula sejak Mei lalu.

"Projek membuat pelitup muka fabrik ini bermula sejak 13 Mei lalu dengan pembabitan seramai 50 sukarelawan yang mendaftar di pusat sukarelawan.

"Pelitup muka kain yang sudah disiapkan akan diagihkan secara percuma di semua pusat kebajikan di Sabah.

"Semalam, kami menjemput wakil dari Cheshire Home, Holy Family Residence dan Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu untuk menerima agihan topeng muka terbabit dan kesemuanya berjumlah 730 helai pelitup muka kain. Pelitup muka kain yang selebihnya akan diagihkan secara terus ke pusat kebajikan lain," katanya.

Frankie berkata, kekurangan pelitup muka di peringkat global menjadikan pelitup muka kain menjadi satu penyelesaian terbaik.

"Pelitup muka kain mudah untuk dibuat, boleh digunakan semula dan dicuci. Pelitup muka pembedahan dan pelindung muka seharusnya lebih diutamakan untuk golongan barisan hadapan.

"Pusat Kawalan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat menasihatkan penggunaan kain muka sederhana bagi melambatkan penyebaran virus.

"Tambahan, saranan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) harus diikuti seperti duduk di rumah, jauhi tempat yang sesak, mengamalkan penjarakan sosial dan mencuci tangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 1:38 PM