Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengakui terdapat sesetengah kes sukar untuk mengenalpasti punca kematian pesakit Covid-19 sama ada disebabkan komplikasi kesihatan atau serangan virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat kes kematian yang sukar disahkan puncanya sama ada disebabkan Covid-19 atau komplikasi kesihatan.

"Kita sudah bincang kematian membabitkan 117 kes setakat hari ini dan kita lihat ada kes puncanya sukar untuk kita sahkan sama ada disebabkan penyakit Covid-19 atau komplikasi.

"Contohnya, pesakit Covid-19 disahkan positif tetapi virus itu mungkin sudah sampai ke jantung dan disebabkan pembekuan darah di jantung serta mati sebagai pesakit jantung.

"Jadi pesakit mati sebagai pesakit jantung atau disebabkan Covid-19, kita ada kerumitan untuk mengenalpasti punca kematian," katanya dalam sidang media harian hari ini.

Menurutnya, apa yang pasti jika pesakit positif virus itu tetapi membunuh diri atau terbabit dalam kemalangan jalan raya, punca kematian boleh diklasifikasi sebagai kes bunuh diri atau disebabkan kemalangan.

"Bagaimanapun, kita sedang melihat dan 'mencuci' semula data untuk pengemaskinian punca kematian Covid-19 di Malaysia," katanya.

DR Noor Hisham pada sidang media harian Covid-19. FOTO Luqman Hakim Zubir
DR Noor Hisham pada sidang media harian Covid-19. FOTO Luqman Hakim Zubir

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 5:59 PM