GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Murni Wan Omar dan Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


TERDAPAT bukti direkodkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa pemakaian pelitup muka berkesan menurunkan jangkitan virus Covid-19.

Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka khususnya ketika berada di tempat tumpuan umum, tertutup dan sesak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemakaian pelitup muka terutamanya digalakkan kepada individu bergejala.

"KKM memang sangat menggalakkan pemakaian pelitup muka terutama bagi mereka yang bergejala dan jika kita berada di kawasan orang ramai contohnya menggunakan pengangkutan awam.

"Kepada mereka yang bertugas di wad Covid-19 dan Unit Rawatan Rapi (ICU) mereka diberikan penutup mulut dan hidung serta memakai peralatan perlindungan diri (PPE).

"Itu memang kita pastikan pemakaiannya kepada petugas warga kerja KKM dan barisan hadapan pelbagai agensi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, selaras disarankan KKM, WHO juga menasihatkan mereka yang bergejala untuk mengelakkan diri daripada keluar rumah kecuali urusan penting dan mendapatkan rawatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 6:57 PM