X
SHAHRUDIN (kanan) minta penduduk Jengka supaya jangan panik. FOTO ROSELAN AB MALEK
SHAHRUDIN (kanan) minta penduduk Jengka supaya jangan panik. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


PENDUDUK di Wilayah Jengka diminta tidak panik meskipun terdapat sembilan kes positif Covid-19 membabitkan dua kluster di Maran, hari ini.

Pegawai Daerah Maran, Shahrudin Jali berkata, pihaknya mengesan dua kluster baharu berkenaan apabila dua 2 kes positif dikesan di Kluster Tapak Pembinaan iSPAT dan tujuh Kes positif dari Kluster Kilang Papan Primado.

Beliau berkata, pihak berkuasa bertindak pantas dan proaktif apabila menyaring 1,221 individu di Maran bagi mengasingkan individu disahkan positif serta kontak dikenalpasti bagi mengekang penularan wabak Covid 19.

"Dua kluster Covid 19 terbaharu ini mendapat rawatan intensif di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan manakala seramai 117 orang yang ada kontak dikuarantin di Bukit Tinggi, Bentong.

"Manakala, bagi pekerja kilang papan warganegara tempatan di kawasan industri Jengka dan pasar raya di Kuala Krau diarah menjalani kuarantin di rumah masing- masing," katanya kepada media selepas membuat lawatan ke Kilang Papan Primado, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menafikan lelaki Bangladesh yang positif Covid 19, bekerja di Pasar Raya BS Mart Jengka seperti yang tular dalam media sosial.

Justeru beliau meminta orang ramai tidak terus menyebar maklumat palsu itu sehingga menimbulkan kemarahan netizen kerana pasar raya berkenaan masih beroperasi.

"Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Maran menyaring 54 pekerja BS Mart Jengka dan semuanya disahkan negatif Covid 19.

"Lelaki Bangladesh yang menyewa di Rantau Perintis berkenaan adalah penanam sayur yang tinggal bersama dengan kluster kilang papan di Jengka," katanya.

Shahrudin berkata, sebagai langkah keselamatan pihak kerajaan melaksanakan Pergerakan Kawalan Keselamatan Lokaliti (PKKL) di kawasan Rantau Perintis sahaja.

Katanya, berikutan kes terbaharu itu, pergerakan keluar masuk ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka dihadkan bagi mengekang sebarang kemungkinan kitaran virus Covid-19 kepada individu lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 8:39 PM