X
ANGGOTA bomba membawa turun mayat mangsa. FOTO JBPM
ANGGOTA bomba membawa turun mayat mangsa. FOTO JBPM
Amir Abd Hamid


PEKERJA warga asing maut dihempap dahan pokok yang dipotong dan mayatnya tersangkut pada ketinggian kira-kira 70 meter di Subang Jaya, hari ini.

Dalam kejadian 5.15 petang itu, lelaki Indonesia berusia 36 tahun itu meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat parah dihempap dahan.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihak bomba menurunkan mangsa dengan menggunakan tali penyelamat kaedah sistem takal.

"Bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 5.17 petang tadi sebelum dua jentera membabitkan sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan dua pegawai dan 11 anggota bergegas ke lokasi.

"Mayat didapati tersangkut di dahan pokok selepas dihempap satu daripada dahan yang dipotong pada ketinggian 70 meter," katanya.

Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Muhamad Duri berdasarkan butiran pasport.

Menurutnya, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 10:23 PM