MARA Mall di pekan Masjid Tanah. FOTO Hasan Omar
MARA Mall di pekan Masjid Tanah. FOTO Hasan Omar


KERAJAAN negeri Melaka tiada halangan jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung bangunan MARA Mall di pekan Masjid Tanah yang terbiar sejak empat tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, perkara berkenaan sudah disentuh kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dan beliau berharap siasatan sudah dimulakan.

Jika sebaliknya, beliau berharap SPRM segera berbuat demikian.

"Siasat... kalau belum siasat, siasatlah sekarang kerana saya pun hendak tahu mengapa bangunan itu sudah lama terbiar sedangkan sudah lama siap.

"Biarlah SPRM siasat, ramai orang hendak tahu kenapa bangunan itu terbiar," katanya ketika ditemui selepas melawat Pasar Awam Masjid Tanah, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari yang dilaporkan berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan maklumat daripada mana-mana pihak yang mampu mengaitkan pasar raya yang terbengkalai sejak empat tahun lalu itu dengan sebarang unsur penyelewengan atau rasuah.

Ini kerana selepas empat tahun bangunan itu siap sepenuhnya, ia masih belum mampu beroperasi, sekali gus menjadikannya sebagai projek gajah putih yang dibimbangi merugikan MARA selepas pelaburan berjuta ringgit dibuat.

Sehubungan itu, Adly mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) berbincang dengan MARA bagi mencari kaedah terbaik bagi memastikan pasar raya itu beroperasi dan menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan Bumiputera pada kadar sewa munasabah.

Katanya, keadaan itu tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana selain menjejaskan imej MARA, ia turut membabitkan imej kerajaan negeri yang dipandang negatif dari perspektif pelabur tempatan dan asing.

Ada beberapa cadangan untuk membolehkan pasar raya itu beroperasi, termasuk menempatkan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di pasar raya itu tetapi cadangan hanya tinggal cadangan, katanya.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, cadangan awal PKNM sebelum ini untuk bekerjasama dengan pelabur Asia Barat yang kononnya berminat memperdagangkan produk dari rantau berkenaan di MARA Mall, sudah dimansuhkan.

"Dahulu ada cadangan PKNM memberi peluang kepada pelabur dari Asia Barat untuk menjadi penyewa utama bangunan itu tetapi sekarang sudah tiada lagi.

"PKNM mempunyai cadangan lain bagi memastikan pasar raya itu mampu beroperasi tetapi akan diumumkan apabila tiba waktunya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 12:56 PM