TAPAK pembinaan di Bukit Kiara dihentikan beroperasi. FOTO ihsan DBKL
TAPAK pembinaan di Bukit Kiara dihentikan beroperasi. FOTO ihsan DBKL
Rosyahaida Abdullah


SEBUAH tapak pembinaan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur diarahkan menghentikan operasi serta merta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas didapati beroperasi pada waktu malam.

Dalam Operasi Pantau Covid-19 (Kawalan Tapak Bina) yang dilaksanakan kelmarin, Jabatan Penguatkuasaan DBKL mengesan aktiviti pembinaan oleh kontraktor pembinaan berkenaan sekitar jam 10.30 malam.

Jurucakap DBKL berkata, tindakan kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 70(13)(d) Akta Jalan Parit Bangunan dan arahan menghentikan operasi.

Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa pada 4 Mei lalu, tapak pembinaan antara sektor yang dibenarkan untuk kembali beroperasi dengan syarat mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) disertai pematuhan sepenuhnya terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

TINDAKAN kompaun dikeluarkan di tapak pembinaan tersebut. FOTO ihsan DBKL
TINDAKAN kompaun dikeluarkan di tapak pembinaan tersebut. FOTO ihsan DBKL

"Bagaimanapun terdapat beberapa tapak pembinaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi susulan tidak mendapat kelulusan MKN.

"Ini adalah satu daripada beberapa tapak pembinaan yang sudah dikompaun dalam tempoh PKPB susulan tidak mempunyai kelulusan untuk meneruskan semula operasi," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kebiasaannya sebelum PKP, tapak pembinaan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 7 malam dan perlu memohon kebenaran untuk melanjutkan waktu aktiviti melebihi tempoh itu.

"Dalam kes ini, tapak pembinaan ini tidak mempunyai kelulusan MKN untuk beroperasi mungkin kerana tidak melepasi saringan Covid-19 untuk pekerjanya atau langsung tidak memohon kebenaran.

"Kita dapati mereka tidak pun beroperasi pada waktu siang, mungkin mereka sangka kita tidak melakukan pemeriksaan pada waktu malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 1:18 PM