ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan Op Parti Liar di sebuah unit kondominium di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. FOTO ihsan Polis
ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan Op Parti Liar di sebuah unit kondominium di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan 10 individu dalam serbuan Op Parti Liar di sebuah unit kondominium di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya membuat serbuan di kediaman itu selepas menerima maklumat daripada orang awam pada 1.30 pagi.

Menurutnya, hasil serbuan itu, pihak polis menahan lima lelaki dan lima wanita berusia antara 19 hingga 31 tahun.

"Kami merampas sejumlah botol dan tin minuman keras serta peralatan muzik elektronik yang digunakan dalam parti terbabit.

"Siasatan awal mendapati individu yang hadir di parti itu terdiri rakan rapat yang dijemput melalui aplikasi WhatsApp dan tiada sebarang bayaran dikenakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rajab berkata, soal siasat lanjut mendapati unit kondominium itu disewa oleh seorang daripada suspek pada kadar RM250 sehari.

"Hasil saringan ujian air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, semua suspek didapati mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana kesalahan berhimpun bagi tujuan aktiviti hiburan.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana memberi maklumat berkaitan parti liar itu dan berharap kerjasama semua pihak supaya mematuhi arahan PKPB.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 2:12 PM