SUSPEK yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut. FOTO IHSAN POLIS
SUSPEK yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut. FOTO IHSAN POLIS


POLIS menahan tujuh lelaki atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika menyaksikan perlumbaan haram di Kilometer 105, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kerteh Kemaman, pagi tadi.

Kesemua mereka yang ditahan jam 1.15 pagi itu berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan terserempak dengan mereka yang berkumpul di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kesemua yang ditahan itu berasal dari Dungun dan Ajil dan mendakwa datang ke situ untuk menyaksikan perlumbaan haram.

"Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut.

"Polis menyita sembilan kenderaan dan satu motosikal untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kesemua mereka kemudiannya dikompaun sebanyak RM1, 000 setiap seorang sebelum dibebaskan.

"Mereka diberi tempoh selama 14 hari untuk menjelaskan kompaun itu dan tindakan mahkamah akan diambil sekiranya gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 3:59 PM