Noor Hidayah Tanzizi


"SEPANJANG banjir berlaku hampir setiap tahun, ini kali pertama saya meranduk (redah) banjir dengan tangki air," kata ibu tunggal, Amalina Hashim, 56.

Amalina antara 54 mangsa membabitkan 14 keluarga dari Kampung Sungai Rambai dan Kampung Kilang Kacang, Teluk Intan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Majli Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap selepas terjejas akibat banjir kilat, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, PPS berkenaan ditutup pada 2 petang hari ini selepas air sudah surut sepenuhnya.

Amalina yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal berkata, ini pengalaman pertamanya ditolak dengan tangki air ketika meranduk banjir untuk menyelamatkan diri.

"Kami tak menyangka akan banjir kilat kerana hujan lebat berlaku hari sebelumnya, namun air mula naik dengan cepat sejak 3 pagi, Jumaat lalu selepas air sungai mula melimpah.

"Paras air ketika itu, setinggi hampir semeter menyukarkan anak menolak saya dengan kerusi roda dan tanpa berfikir panjang mereka segera mengambil tangki air sebelum meletakkan saya dalam itu," katanya.

Amalina berkata demikian ketika ditemui pada lawatan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di PPS berkenaan di Langkap, Teluk Intan, hari ini.

Dalam lawatan itu, Tajuddin meluangkan masa bertanya khabar dengan mangsa banjir dan turut menyampaikan sumbangan kepada setiap keluarga terjejas.

Amalina berkata, dua anaknya berusia 22 dan 25 tahun bersama anak saudara menolaknya kira-kira 50 meter dari rumah ke jalan sebelum anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) membawanya ke PPS.

Katanya, selain meranduk banjir dengan tangki air, banjir kali ini juga pengalaman pertamanya berpindah ke PPS dengan normal baharu namun mengakui tidak kekok kerana sudah biasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti saranan kerajaan.

AMALINA ditolak dengan tangki air ketika meranduk banjir sebelum dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap. FOTO IHSAN KELUARGA.
AMALINA ditolak dengan tangki air ketika meranduk banjir sebelum dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap. FOTO IHSAN KELUARGA.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 4:09 PM