KEADAAN motosikal ditunggangi Allahyarham Baharudin yang terbabas di Kilometer 203.6 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat Alor Gajah. FOTO IHSAN PDRM
KEADAAN motosikal ditunggangi Allahyarham Baharudin yang terbabas di Kilometer 203.6 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat Alor Gajah. FOTO IHSAN PDRM


SEORANG anggota unit 'Rapid Intervention Motorcycle' (RIM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur terbunuh selepas motosikal ditungganginya terbabas ketika berkonvoi di Kilometer 203.6 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat Alor Gajah, hari ini.

Baharudin Sapuan, 44, meninggal dunia selepas dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan terseret pada penghadang jalan sejauh kira-kira 30 meter manakala motosikalnya terseret 100 meter.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa menunggang motosikal Kawasaki Versys 650 ABS bersama-sama enam anggota unit berkenaan dari Kuala Lumpur ke Kluang, Johor.

"Siasatan mendapati mangsa dan enam penunggang motosikal unit berkenaan dalam sesi latihan ujian kemahiran motosikal dan memulakan perjalanan pada 8 pagi.

"Mangsa menunggang di bahagian tengah konvoi, tetapi setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum terseret dan tercampak ke tepi lebuh raya," katanya.

Beliau berkata, rakan mangsa mencuba membantu memberikan bantuan kecemasan, tetapi mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan itu berlaku di laluan lurus lorong paling kiri daripada tiga lorong.

"Keadaan cuaca dilaporkan baik dan kejadian itu tidak membabitkan kenderaan lain. Jenazah arwah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat," katanya,

Motosikal berkenaan dilengkapi peralatan pemadaman, penyelamat dan perubatan, iaitu 'moto fire', 'moto rescue' serta 'moto medic.'

Anggota RIM adalah anggota bertindak atau 'responder' pertama bagi mempercepatkan masa bertindak ke lokasi kecemasan, terutama di kawasan berkepadatan tinggi.

Sementara itu, sumber BBP Jalan Hang Tuah berkata, arwah sudah berkhidmat kira-kira 20 tahun dan berasal dari Muar, Johor.

"Arwah tinggal di kuarters bomba dan meninggalkan isteri serta beberapa anak dan setakat ini belum dapat dipastikan sama ada jenazah akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur atau Muar," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 4:26 PM