Md Fuzi Abd Lateh


"KAMI selalu bertemu ibu dan ayah di rumah usang mereka setiap minggu. Mereka membesarkan kami sejak kecil lagi," kata Mohd Syamrul Mohd Lazim, hari ini.

Mohd Syamrul, 31, adalah anak bongsu kepada pasangan warga emas yang lebih 45 tahun tinggal dalam hutan di Estet Goh Tong, Sungai Remuk, Batang Kali.

Menurutnya, kehidupan harian ayahnya, Mohd Lazim Ismail, 74 bersama ibunya, Fatimah Rani, di hutan itu sudah sebati dalam diri mereka dan enggan berpindah ke rumah lain.

" Untuk membeli barangan keperluan harian, saya selalu menjemput ayah ke pasar dan kedai di Batang Kali ketika mempunyai masa lapang.

"Keluarga kami bahagia walaupun ibu dan ayah tinggal dalam rumah sudah uzur di situ," katanya ketika dihubungi.

Dia yang mempunyai lima anak masih kecil berpindah dari rumah ibu bapanya itu apabila ditawarkan rumah di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kalumpang pada 2001.

Katanya, hasil perkongsian hidup ibu dan ayahnya itu dikurniakan lima anak berusia 31 hingga 45 tahun yang tinggal sekitar Batang Kali, Pahang dan mengikut suami ke Indonesia.

"Adik saya yang keempat, Hasnita sudah lama tidak pulang ke Malaysia apabila berkahwin dengan warga Indonesia. Ibu dan ayah sering merinduinya setiap hari.

"Kami adik beradik sering bertanya khabar dan mengambil berat tentang kesihatan ibu dan ayah. Syukurlah mereka menerima sumbangan Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 setiap bulan sejak beberapa tahun lalu," katanya yang juga berkerja sebagai pengawal keselamatan swasta di Batang Kali.

Katanya, semua ahli keluarga mereka tidak mempunyai pendapatan lumayan dan bekerja kampung di Kampung Hulu Tamu dan Batang Kali.

Menurutnya, kesusahan dan kemiskinan dihadapi ibu bapa mereka sangatlah memberi pengajaran dan pengalaman perit kepada semua anak sejak dibesarkan tulang empat kerat ayahnya yang pernah bekerja di estet itu.

Berita berkaitan

'45 tahun hidup dalam hutan'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 4:48 PM