X
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Rosyahaida Abdullah


PASAR terbuka seperti pasar pagi, pasar malam dan bazaria di ibu negara akan dibenarkan beroperasi semula secara berperingkat bermula 15 Jun ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, pasar akan dibenarkan dibuka secara berperingkat tertakluk kepada beberapa perkara.

"Antaranya, kelulusan untuk beroperasi bagi setiap lokasi pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria adalah secara terpilih dan berperingkat.

"Bagi tujuan ini, permohonan hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Pelesenan Dan Pembangunan Penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mulai Rabu ini (10 Jun).

"Selain itu, pasar berkenaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diiringi pematuhan terhadap SOP semasa oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Tindakan penutupan serta-merta akan diambil bagi kegagalan mematuhi mana-mana syarat dan SOP yang sudah ditetapkan," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Nor Hisham berkata, berikutan arahan semasa PKPP, pihaknya di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 pada bila-bila masa boleh mengenakan sebarang syarat tambahan ke atas lesen dengan mengubah atau membatalkan apa-apa syarat yang dikenakan.

"Tindakan penguatkuasaan termasuk menyita peralatan penjajaan dan menutup pasar terbabit di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 boleh diambil.

"Malah, tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 serta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 4:52 PM