X
Kamarudin Jaffar. FOTO arkib NSTP
Kamarudin Jaffar. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 6,234 rakyat Malaysia yang masih berada di negara-negara di benua Afrika sudah berdaftar dengan Kerajaan Malaysia sehingga 1 Jun lalu.

Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pihaknya melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di Afrika memantau rapat perkembangan kes Covid-19 di benua berkenaan.

Katanya, Kementerian Luar Negeri akan sentiasa menghulurkan bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat penguatkuasaan langkah-langkah pengekangan penularan wabak oleh kerajaan negara di benua itu.

"Pada masa sama, kami mengambil berat mengenai permasalahan dilaporkan yang tular di media sosial membabitkan rakyat Malaysia di Mesir, Sudan dan Nigeria.

"Dalam hal ini, usaha berterusan dilakukan Kementerian Luar Negeri menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Mesir dengan memudahcara kepulangan 5,291 penuntut ke

tanah air sehingga ke hari ini.

"Ia dilakukan walaupun situasi di negara itu masih terkawal dan operasi penerbangan komersial masih digantung berikutan pelaksanaan arahan kawalan pergerakan oleh pihak berkuasa Mesir sejak Mac lalu," katanya dalam kenyataan, Kuala Lumpur, hari ini.

Kamaruddin berkata, kementerian itu juga melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di Afrika terus berusaha menyediakan alternatif terbaik bagi membantu rakyat Malaysia di rantau terbabit yang terjejas berikutan penutupan sempadan dan penggantungan operasi penerbangan komersial.

"Ini termasuk menyelaras maklumat penerbangan komersial bagi membawa rakyat Malaysia ke negara ketiga yang mempunyai penerbangan ke Kuala Lumpur serta mencari alternatif kaedah penerbangan bersesuaian dengan kos berpatutan.

"Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri juga mengalu-alukan pembabitan mana-mana individu, organisasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu membantu memudahcara kepulangan rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat penguatkuasaan langkah pengekangan penularan wabak Covid-19 oleh kerajaan di benua Afrika," katanya.

Beliau menasihatkan warga Malaysia di luar negara supaya terus berhubung dengan Perwakilan Malaysia yang berkenaan bagi mendapatkan perkembangan berkaitan perkara itu dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan usaha membawa pulang kira-kira 5,000 penuntut Malaysia di Mesir ke tanah air dilihat antara misi sukar yang perlu didepani berikutan tambang mencecah RM3,200 seorang.

Keadaan itu menyebabkan ada antara penuntut terbabit terpaksa menjual kelengkapan dan barangan berharga bagi mencukupi kadar tambang sehala yang sebelum ini antara RM1,300 hingga RM1,500.

Berita berkaitan:

  • Perkembangan rakyat Malaysia di Mesir sentiasa dipantau: Wisma Putra
  • Tambang RM3,200 seorang!
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 5:04 PM