CHOW Kon Yeow.FOTO Arkib NSTP
CHOW Kon Yeow.FOTO Arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


KERAJAAN Pulau Pinang akan meneliti keputusan dan ketetapan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Khas Negeri yang diadakan pada Rabu ini.

Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan memperlihatkan pembukaan secara berperingkat sektor ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan keagamaan ke arah mencapai normalisasi pasca Covid-19.

Berikutan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan di Georgetown berkata, pihaknya akan berbincang serta meneliti PKPP sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Katanya, strategi PKPP adalah sejajar dengan usaha bagi mencapai keseimbangan antara kesihatan awam dengan kehidupan rakyat.

PKPP yang akan bermula pada 10 Jun hingga 31 Ogos itu memberikan beberapa kelonggaran kepada rakyat antaranya kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri, melancong dalam negeri, kebenaran membuka pasar di tempat terbuka dan sambutan Aidiladha.

Bagaimanapun, rakyat diminta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam menjalani kehidupan normal baharu sekali gus memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 5:32 PM