MUSTAPA Mohamed. FOTO Arkib NSTP
MUSTAPA Mohamed. FOTO Arkib NSTP
Syaherah Mustafa


SERAMAI 7,500 usahawan bimbingan di bawah Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) perlu dikenal pasti agar mendapat manfaat Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ECERD memainkan peranan besar untuk mengumpul kesemua usahawan terbabit supaya dapat berkongsi manfaat itu selain mengenal pasti masalah dihadapi mereka dalam situasi sekarang.

Beliau berkata, PENJANA dapat memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak melalui 40 inisiatif yang diperkenalkan bernilai RM35 bilion.

"Ekonomi di Kelantan tidak terkecuali menerima tempias akibat pandemik Covid-19, namun tindakan kerajaan memperkenalkan PENJANA serta melonggar Prosedur Operasi Standard (SOP) khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diharap dapat memulihkan keadaan.

"Peruntukan besar disediakan untuk memperkasa PKS melalui teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), justeru ECERD hendaklah memainkan peranan memastikan golongan ini mampu beralih kepada perniagaan dalam talian menerusi Kempen E-Dagang bagi Perusahaan Mikro dan PKS bernilai RM70 juta.

"Selain itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, juga menjemput menteri dari Kelantan untuk duduk semeja dengannya bagi membincangkan pelbagai hal berkaitan pembangunan negeri ini dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di Pejabat Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) Kelantan di Lubok Jong, Pasir Mas, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai EksekutifECERDC, Baidzawi Che Mat dan Pengurus Besar ECERDC Kelantan, Jalaludin Omar.

Katanya, masalah berkaitan pembangunan di Kelantan juga akan dibincangkan memandangkan PAS kini sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 5:58 PM