Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hazira Ahmad Zaidi


"KAMI enam beranak sepatutnya bergembira menyambut ulang tahun kelahiran Muhammad Adam Danish Zaidi yang kelapan tahun malam tadi, namun ia tidak kesampaian apabila dikejutkan dengan kematiannya."

Demikian luahan Zaidi Ariffin, 42, iaitu bapa kepada Muhammad Adam Danish yang ditemui mati dipercayai terjerut kain tuala di dalam bilik tidur di rumahnya di Kampung Kuala Nal, Kuala Krai.

Zaidi berkata, dia menyedari kematian anak ketiga daripada empat beradik itu pada jam 9.30 malam selepas memanggilnya beberapa kali supaya keluar menyambut hari lahir, namun anaknya tidak menyahut menyebabkan dia terpaksa menendang pintu bilik berkenaan.

"Ketika itu saya terkejut melihat keadaan anak yang sudah tidak sedarkan diri dengan tuala terjerut dan mulut berbuih sebelum menghubungi Hospital Sultan Ismail Petra untuk bantuan kecemasan. Namun sebaik doktor (pegawai perubatan) tiba, anak saya disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.

Menceritakan mengenai sambutan hari lahir anaknya, Zaidi berkata, ketika itu kek sambutan hari lahir dan hadiah sudah dibeli, sebelum menanti Muhammad Adam Danish keluar dari biliknya.

"Pada awalnya, Adam meminta supaya membelikan kek Ejen Ali, namun tidak tercapai memandangkan pembuat kek memaklumkan bahan tidak mencukupi. Kami juga sudah maklumkan kepada Adam terpaksa membeli kek biasa dan dia hanya menjawab ok.

"Kami tidak sangka pemergian Adam adalah pada hari lahirnya. Kami sekeluarga reda walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku," katanya yang turut memaklumkan anaknya seorang yang aktif.

Dia berkata, apa yang sedikit pelik pagi semalam adalah Muhammad Adam Danish bangun awal pagi dan mengejutnya supaya solat Subuh.

"Itu kali pertama dia kejut saya dan selepas itu dia tidak tidur sehinggalah Adam masuk ke bilik jam 4.30 petang sebelum ditemui meninggal dunia.

"Malah, Aidilfitri lalu, saudara mara termasuk nenek Adam juga tegur kulit Adam kelihatan sangat putih bersih dan saya tidak sangka ia adalah petanda sebelum pemergian dam buat selama-lamanya," katanya memberitahu, jenazah Adam dikebumikan di Kampung Sat Tengah, Tanah Merah, petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada kes diklasifikasikan sebagai jenayah atau mati mengejut.

Berita berkaitan

Tergantung di besi penghadang katil

Kanak-kanak lelaki maut terjerut di malam ulang tahun kelahiran

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 6:13 PM