Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SEORANG tukang cat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar seorang penunggang motosikal hingga cedera pada 31 Mei lalu di Bintong.

Tertuduh, Kang Jin Khong, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dengan kandungan alkohol sebanyak 146 miligram/ 100 mililiter darah dari had yang dibenarkan iaitu 80 miligram/ 100 mililiter darah pada 11.45 pagi pada 31 Mei lalu di Jalan Raja Syed Saffi, Bintong.

Disebabkan itu, tertuduh tidak terdaya mengawal kenderaan dan menyebabkan kecederaan kepada penunggang motosikal bernombor pendaftaran PEC 7855 jenis Modenas Kriss yang ditunggang Bishamhadi Mohamad Hasbi, 41.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000 dan penjara tidak kurang dari tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta lesen memandu boleh dibatalkan.

KANG Jin Khong dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
KANG Jin Khong dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

Tertuduh yang diwakili peguam Praya Singh memohon jaminan rendah ekoran tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan hanya memperoleh antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan selain masih menanggung seorang isteri bersama seorang anak yang tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Sebutan laporan kimia dan serahan dokumen ditetapkan pada 27 Ogos hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 1:11 PM