Amir Muda, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana mengugut mahu membunuh isterinya. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Amir Muda, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana mengugut mahu membunuh isterinya. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


TUKANG rumah dijatuhi hukuman penjara tiga bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mengugut mahu membunuh isterinya.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Amir Muda, 39, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Mengikut pertuduhan, Mohd Amir didakwa melakukan ugutan jenayah untuk membunuh mangsa, Rozilawati Mohamad, 39, dengan niat menimbulkan rasa takut di sebuah rumah di Batu Rakit, Kuala Nerus, jam 5 pagi pada 3 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Noor Mazrinie mengarahkan hukuman penjara berjalan bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 4 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh ada mengeluarkan kata-kata ugutan mahu membunuh mangsa ketika mereka bertengkar selepas berlaku perselisihan faham.

Mangsa yang ketakutan dengan ugutan tertuduh membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit, Kuala Nerus untuk tindakan lanjut.

Susulan laporan dibuat, tertuduh ditahan di hadapan sebuah rumah di Batu Rakit, Kuala Nerus kira-kira jam 11.30 pagi pada 4 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 4:37 PM